BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan pandangan bahawa pendidikan negara harus ditawarkan secara percuma.
Perdana Menteri berkata, ia wajar ditawarkan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, namun ia tidak melibatkan golongan berkemampuan.
“Pada pendapat peribadi saya, dalam falsafah pendidikan, pendidikan itu harus percuma.
“Dari sekolah rendah hingga universiti melainkan golongan kaya sebab beza,” katanya dalam Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di institusi pendidikan tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Katanya, perkara itu boleh direalisasikan menerusi beberapa dasar dan langkah penjimatan.
“Sebagai contoh, tanggungan subsidi terlalu tinggi, M40 dan B40 kita tak sentuh mereka terus dapat subsidi tapi T20 dan ke atas mereka bayar kos jadi adillah. Dengan itu kita jimatkan RM10 bilion subsidi daripada RM30 bilion.
“Dalam soal haji, golongan kaya tidak payah subsidi, dia bayar, yang lain tetap beri subsidi.
“Semalam saya umum orang kaya ambil subsidi dalam 40 peratus. Orang kaya pun beri subsidi jadi kalau tanya saya, kita kena cari jalan supaya orang kaya jangan ambil subsidi, bayarlah.. Rakyat jangan dibebankan.
“Jadi, untuk apa ini semua? Maknanya kalau ini semua boleh dikawal, maka kos pendidikan dapat diminimumkan.
“Jadi saya bersetuju dengan dasar-dasar ini, maknanya kita boleh buat, tapi tak boleh sekarang, hutangnya berlambak..bagilah masa,” katanya. – UTUSAN