KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kerajaan Perpaduan yang memerintah ketika ini mempunyai makna yang lebih besar, berbanding Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun soal etnik adalah isu akar umbi, namun bangsa Malaysia yang besar dan konsep Malaysia Madani yang di dokong ketika ini harus diberi keutamaan.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya atas pertemuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir. Ucapan ini kerana kita tahu Dr Mahathir adalah liabiliti baharu dalam politik tanah air.
“Ini dijawab dengan kekalahannya di Langkawi dan hilang deposit, malah tiada calon dari partinya yang menang (pada pilihan raya lalu).
“Kalau pertemuan ini (Proklamasi Orang Melayu) kononnya untuk penyatuan dan perpaduan orang Melayu, harus diketahui bahawa walaupun UMNO parti orang Melayu dan Bumiputera yang besar, Kerajaan Perpaduan mempunyai makna yang lebih besar untuk negara kita.
“Kita rasa soal etnik walaupun ia isu akar umbi, namun bangsa negara Malaysia yang besar, Kerajaan Perpaduan dan negara Malaysia Madani yang kita sama-sama dokong harus diberi keutamaan,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertemuan Dr Mahathir dan Abdul Hadi serta beberapa pemimpin lain berhubung Proklamasi Orang Melayu.
Ahmad Zahid berkata, apa yang penting sekarang menjaga soal kemajmukan rakyat negara ini dan mengetepikan perbezaan politik serta etnik.
“Cukuplah sepenggal lalu politik kita berkecamuk dan kita dapat tiga kepemimpinan yang berbeza. Lihatlah apa akibat yang berlaku kepada negara kita.
“Kini, kita sama-sama bentuk (Kerajaan Perpaduan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 19 parti dalam empat gabungan utama, jadi ini yang menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan berhubung isu kestabilan kerajaan dan bertitah supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran negara seharusnya diutamakan.
“Semua pemimpin parti politik perlu menghayati dan menjunjung titah Sultan Ibrahim itu sejajar hasrat untuk maju dan membentuk negara yang stabil daripada segi politik dan ekonomi.
“Kita mahu politik yang stabil, selain mahu pelaburan luar dan dalam meningkat kerana kita mahu mengutamakan pertumbuhan ekonomi. Kerajaan sekarang stabil dengan 148 Ahli Parlimen menyokong dan sokongan itu harus ditambah,” katanya.
Sementara itu, mengenai ahli dan pemimpin UMNO yang terbabit dengan gerakan Proklamasi Orang Melayu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan melihat tujuan mereka sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Kita akan lihat apakah tujuan yang tersirat daripada pengakuan dan perjanjian itu. Kita akan teliti dan bincang melalui biro politik sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi,” katanya.