Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid.
KDN berkata, perkara itu disepakati menerusi Mesyuarat Permuafakatan PDRM bersama KPM 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucaptama menekankan kepentingan sinergi strategik PDRM–KPM tersebut sebagai memperkukuh agenda keselamatan murid di seluruh negara.
“Sebanyak 16,157 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di lebih 10,200 sekolah, kerjasama antara PPS, pentadbir sekolah, guru dan murid diperkasa bagi mengesan ancaman lebih awal,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
KDN berkata, pendekatan pencegahan berasaskan risiko turut menumpukan intervensi awal, bimbingan dan kaunseling, khususnya di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Tambahnya, mesyuarat turut membincangkan pemantapan saluran komunikasi pantas, penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), pemanfaatan Buku MESRA PPS serta penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memperkukuh keselamatan sekolah.
Selain itu katanya, penyelarasan bersama wakil jabatan PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian turut diperkukuh bagi menilai keberkesanan kerjasama serta memperkemas mekanisme pencegahan jenayah demi persekitaran pendidikan yang selamat, kondusif dan sejahtera. -MalaysiaMADANI
