Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Program Matrikulasi merupakan instrumen penting dalam meningkatkan akses pendidikan tinggi lepasan menengah dan menjamin ekosistem pendidikan mampan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, komitmen di peringkat kementerian adalah jelas iaitu sentiasa berusaha memperkukuhkan kedua-dua program demi manfaat kumpulan pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading.
“Baru-baru ini telah berlangsung Kongres Prauniversiti MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang dan secara kebetulan ia dianjurkan hanya beberapa hari selepas selesai Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang pertama kali diadakan pada tahun ini.
“Anak-anak ini masih dalam ‘vibe’ pemilihan dan masing-masing tampak bersemangat mengetengahkan buah fikiran bagi meningkatkan program Prauniversiti,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Fadhlina berkata, pihaknya mengambil perhatian semua syor yang dikemukakan bagi memastikan kualiti program Prauniversiti yang lebih baik, merangkumi aspek akademik, kokurikulum, kebajikan serta kesejahteraan pelajar.
Selain akademik, beliau berkata, bakat kepimpinan anak-anak Prauniversiti perlu terus dipupuk bagi menghasilkan kumpulan pekerja yang mempunyai sahsiah diri tinggi pada masa hadapan.
“Berdasarkan perkara tersebut, bermula tahun ini pihak KPM mewujudkan majlis khas sebagai platform suara pelajar yang dapat melatih aspek kepimpinan dan kemahiran insaniah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI