Berita

Kepengerusian ASEAN platform Malaysia terajui pembangunan keselamatan siber

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berpotensi mempelopori pembangunan diplomasi keselamatan siber bagi memperkukuhkan penguatkuasaan jenayah siber di rantau ini.

Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang dipetik Bernama berkata, langkah ini diyakini mampu merapatkan jurang literasi digital dari segi keselamatan siber dalam kalangan negara ASEAN.

Katanya, Malaysia boleh menggunakan pengalaman dalam membangunkan platform khusus seperti polis antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat dan memastikan perkara salah laku keselamatan siber ditangani dengan baik dalam diplomasi keselamatan siber.

Tegas beliau Negara Kesatuan Eropah kini merupakan negara paling  kedepan dalam membina kerangka bersandarkan akta yang lebih kuat.

“Jadi penting untuk ASEAN menerajui diplomasi keselamatan siber bagi memberikan satu ekosistem Internet yang lebih selamat dan memastikan kerjasama semua negara ASEAN dapat berlaku bagi mencegah perkara seperti ancaman radikal dan subversif,” katanya.

Malah beliau menambah sekiranya dapat direalisasikan, ia akan memberikan imej yang baik kepada Malaysia selain dalam membawa perubahan terhadap keselamatan siber di rantau ini. – MalaysiaMADANI