Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima hadiah sebuah kereta elektrik buatan dan kebanggaan Turkiye, TOGG daripada Presiden Recep Tayyip Erdogan sempena lawatan ke negara ini.
Pemberian kereta EV berwarna putih TOGG T10X merupakan tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Menerusi hantaran media sosial miliknya, Anwar menyifatkan hadiah yang diterima mencerminkan komitmen tegas kedua-dua negara untuk tanglas meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Sama ada di lapangan teknologi, inovasi dan automatif, Malaysia dan Republik Turkiye akan terus memperkukuh dan memanfaatkan persahabatan erat yang terjelma.
“Persahabatan erat itu akan memungkinkan lembaran baharu dalam hubungan strategik yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,”katanya.
Anwar kemudian mengambil kesempatan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan bagi menyaksikan pertukaran perjanjian.
Lawatan rasmi dua hari Erdogan ke Malaysia bermula pada 10 Februari lalu adalah jemputan Perdana Menteri yang bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Sepanjang lawatan, Malaysia dan Turkiye menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi bidang seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan, dan kerjasama media. – MalaysiaMADANI