Perdana Menteri menggesa semua kementerian dan negeri memberi fokus kepada usaha meningkatkan keupayaan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2026).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu menjayakan program pelancongan tanpa ada yang tertinggal.
“Saya telah meminta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi tanpa ada kawasan atau negeri yang tersisih.
“Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, semua program yang dilaksanakan tahun ini akan memastikan setiap negeri menjadi destinasi pelancongan utama.
“Dalam usaha kita menjayakan ASEAN, kita pastikan semua program yang dijalankan dapat memastikan setiap negeri tanpa kecuali, menjadi destinasi pelancongan utama, baik tahun ini mahupun tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kempen TMM2026, hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Pada masa sama Anwar berharap TMM2026 menjadi platform utama dalam memperkukuhkan imej negara, memulihkan sektor pelancongan pasca pandemik serta mempromosikan keindahan dan keunikan Malaysia kepada dunia.
Lebih menarik, Anwar turut memperkenalkan reka bentuk pesawat baharu, VM2026 Aircraft Livery yang menonjolkan identiti Malaysia.
Reka bentuk pesawat berkenaan mempamerkan elemen budaya, flora, fauna dan keharmonian negara selari dengan tema ‘Malaysia Truly Asia’. – MalaysiaMADANI