Berita

Pelan integrasi komprehensif disediakan kepada bekas tahanan Guantanamo – KDN

Kerajaan MADANI menyediakan pelan integrasi yang komprehensif kepada dua warganegara Malaysia yang dikembalikan dari Kem Tahanan Guantanamo Bay selepas ditahan sejak 18 tahun lalu bagi memastikan kebajikan mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan yang dirancang tersebut bertujuan memastikan pemulihan yang menyeluruh dan membolehkan individu berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

“Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani prihatin dan ihsan akan kebajikan dua orang warganegara Malaysia yang kembali dari Kem Tahanan Guantanamo Bay.

“Oleh itu sebuah pelan integrasi yang komprehensif akan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan kedua-dua mereka ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, program berkenaan disusun secara terperinci melalui tiga fasa utama yang setiap satunya menitikberatkan keseimbangan antara pemulihan individu dan keharmonian sosial.

“Sebagai pelengkap kepada pelan ini, mekanisme pemantauan rapi turut dirangka untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

“PDRM akan melaksanakan pemantauan berterusan, termasuk lawatan berkala bagi menilai kemajuan pemulihan serta memastikan kebajikan subjek terus terjaga,” katanya.

Beliau menegaskan pendekatan yang dilaksanakan bukan sahaja mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap kesejahteraan semua warganegara tetapi juga menonjolkan nilai-nilai Malaysia MADANIi yang mengutamakan peluang kedua dan keadilan sosial.

Rabu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima dua rakyat Malaysia yang diserahkan Amerika Syarikat (AS) dari Kem Tahanan Guantanamo, Cuba.

Ketua Polis Negaram Tan Sri Razarudin Husain berkata, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir Lep tiba di tanah air dan akan menjalani proses pemuliharaan  sebelum kembali ke keluarga masing-masing.

Kedua-dua mereka di tahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.

Mohammed Nazir dan Mohammed Farik berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003

Juri terdiri lima pegawai tentera AS itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun. – MalaysiaMADANI