Berita, Siaran Media

Kerajaan komited tangani isu warga asing berniaga secara tidak sah, jejas usahawan tempatan

Tindakan memperkukuh usaha kerajaan menangani isu penjajahan ekonomi oleh pihak bukan warganegara yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi negara dan daya saing usahawan tempatan sedang giat dipertingkatkan.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri berkata, perkara tersebut dibincangkan menerusi mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 6 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

PACU berkata, dalam memperkukuh persekitaran perniagaan yang adil kepada usahawan dan peniaga tempatan, mesyuarat telah membincangkan secara terperinci isu aktiviti perniagaan oleh warganegara asing yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan. 

Katanya, perkara terbabit memerlukan tindakan lebih bersepadu bagi memastikan pematuhan undang-undang, melindungi keselamatan pengguna, mengekang aktiviti ekonomi bayangan yang merujuk kepada aktiviti perniagaan tidak berdaftar dan beroperasi di luar kawal selia yang sewajarnya. 

“Perkara ini penting bagi memelihara daya saing usahawan tempatan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih telus, saksama dan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata PACU menerusi satu kenyataan media.  

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail. 

Sementara itu katanya, mesyuarat turut meneliti cadangan penambahbaikan pengurusan siasatan dan ekshibit kenderaan bagi menangani isu lambakan serta kesesakan stor.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dan tindakan memperkasa pengurusan siasatan serta ekshibit oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). 

“Langkah ini penting bagi mempercepat penyelesaian kes, mengoptimumkan penggunaan ruang simpanan, mengurangkan susut nilai aset dan memastikan pengurusan ekshibit dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap serta berintegriti,” ujarnya. -MalaysiaMADANI