Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh akses kepada keadilan bagi mangsa gangguan seksual menerusi perasmian Pejabat Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, penubuhan Pejabat TAGS merupakan langkah penting dalam memastikan mangsa gangguan seksual mendapat akses kepada mekanisme perundangan yang lebih mudah, cepat dan berkesan bagi menuntut keadilan.
“Pejabat TAGS akan menyokong pengoperasian Tribunal dalam mendengar serta memutuskan aduan gangguan seksual secara bebas, adil dan saksama melalui proses yang mesra pengguna, cepat.
“Penubuhan Tribunal ini turut membolehkan mangsa mengambil tindakan sivil serta menuntut pampasan atau ganti rugi terhadap pelaku gangguan seksual mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual di Kuala Lumpur.
Pada majlis yang sama, sistem e-TAGS turut dilancarkan dengan tujuan memudahkan dan mempercepatkan proses pemfailan aduan, pengurusan kes, pendengaran, pengesahan keputusan atau award serta penyimpanan rekod secara digital dan tanpa penggunaan kertas.
Nancy pada masa sama menegaskan Inisiatif pendigitalan itu dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan kes selain memudahkan orang ramai mendapatkan akses kepada perkhidmatan tribunal.
“Sejak penubuhannya pada 8 Mac 2024 hingga 7 Jun lalu, TAGS telah menerima 99 aduan dengan 80 kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pendengaran pertama manakala baki 19 kes masih dalam proses pengurusan tribunal.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen dan keupayaan TAGS dalam memastikan mangsa gangguan seksual mendapat pembelaan serta akses kepada keadilan dengan lebih pantas, adil dan berkesan,” katanya.
Penubuhan TAGS juga tegas beliau membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem perundangan negara serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, inklusif dan bermaruah untuk semua lapisan masyarakat. – MalaysiaMADANI
