Malaysia dan Thailand akan memanfaatkan hubungan erat terjalin bagi meneroka kerjasama strategik ketika ini dan masa depan bagi melonjak pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama berkenaan akan terarah kepada bidang ekonomi, keselamatan dan kerjasama sempadan.
Selain meneroka inisiatif-inisiatif baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Perkara berkenaan dinyatakan selepas mengadakan sambutan rasmi dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
“Kami kemudian mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala dan juga Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 (7th Annual Consultation – AC) bersempena lawatan sulung Paetongtarn ke negara ini.
“Kami membulatkan tekad mengulangi kerjasama dan hubungan erat antara kedua-dua negara yang berlandaskan kepentingan bersama dan kesalinghubungan ekonomi, dalam konteks dua hala dan ASEAN,” katanya.
Paetongtarn tiba di Malaysia untuk mengadakan lawatan sulungnya sejak mengambil alih jawatan pada Ogos lalu.
Pada tahun 2023, Thailand menjadi rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion). – MalaysiaMADANI