PROGRAM Dua Tahun MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai esok, bakal menyajikan pengisian menarik yang membawa manfaat secara terus kepada rakyat.
Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Jefry Aziz @ Adan berkata, semua kementerian, agensi serta jabatan kerajaan akan terlibat dalam program dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat.
“Kita boleh anggap ia sebagai libat urus antara kerajaan dan semua kementerian akan terlibat dan rakyat yang hadir akan melihat pencapaian dan inisiatif yang telah dilakukan kerajaan,” katanya ketika menjadi tetamu di radio IKIM, hari ini.
Beliau berkata, Jualan MADANI yang menawarkan pengurangan harga yang menjimatkan bagi barangan keperluan asas dijangka menjadi tumpuan utama selain pengurangan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus.
Tidak ketinggalan dengan karnival kerjaya yang menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan, selain itu 5,000 topi keledar juga disediakan untuk memberi peluang orang ramai menggantikan yang baharu yang menepati spesifikasi daripada SIRIM.
Katanya, kementerian-kementerian lain juga tidak melepaskan peluang antaranya Kementerian Kewangan turut menawarkan perkhidmatan seperti semakan sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Semakan Wang Tidak Dituntut dan juga Laporan Kredit Individu (CCTOS, CCRIS) juga disediakan.
“Begitu juga dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menawarkan pelbagai tawaran menarik termasuk geran kepada usahawanmuda seperti AgroMuda dan pelbagai konsultasi disediakan,” katanya.
Orang ramai juga perlu merebut peluang untuk mendapatkan al-Quran baharu daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan membawa al-Quran lama yang tidak mempunyai perakuan KDN atau rosakselain boleh membuat semakan senarai hitam di kaunter berkenaan.
“Bagi pengguna perkhidmatan awam mereka boleh mendapatkan pas perjalanan MY50 daripada kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan aktiviti pembaharuan lesen memandu serta lesen kenderaan motor.
“Manakala Kementerian Kerja Raya pula tidak melepaskan peluang dengan menawarkan perkhidmatan pendaftaran kontraktor CIDB dan kursus-kursus dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Bagi yang meminati aktiviti kesukarelawan anda perlu hadir ke program ini dan kunjungi ke reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.
Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan pelbagai inisiatif secara langsung yang disediakan kerajaan MADANI kepada semua golongan masyarakat.
Oleh itu, orang ramai dipelawa untuk hadir beramai-ramai hadir memeriahkan 2TM yang berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang di KLCC.
Selain itu mereka boleh memberikan maklum balas kepada perkhidmatan kerajaan bagi tujuan penambahbaikan di samping memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik . – MalaysiaMADANI