PROGRAM Dua Tahun kerajaan MADANI (2TM) yang berlangsung 22 hingga 24 November ini akan menjadi platform untuk meningkat kefahaman rakyat selain berkongsi pencapaian kerajaan dalam tempoh pentadbiran kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim..
Ketua Penyelaras Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata, program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu juga bertujuan memberi ruang supaya rakyat lebih memahami usaha dan inisiatif kerajaan.
“Program 2TM ini dirangka khusus untuk memberikan pendedahan secara terus kepada rakyat, dengan menguar-uarkan inisiatif, dasar baharu kerajaan serta pencapaian yang diterima sepanjang tempoh ini.
“Semua kementerian dan agensi kerajaan akan berkampung ke KLCC dan memainkan peranan penting dalam berkongsi kejayaan sepanjang dua tahun bersama Kerajaan MADANI,” katanya.
Terdahulu, beliau menjadi tetamu di siaran langsung program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, hari ini berkata, pelbagai aktiviti menarik telah dirangka sepanjang tiga hari penganjuran berkenaan dan orang ramai berpeluang mendapat pelbagai manfaat termasuk Pengurangan Saman trafik PDRM sehingga 60 peratus, Pertukaran Topi Keledar Percuma, Karnival Kerjaya, Jualan MADANI dan pelbagai lagi.
Katanya 80 usahawan terlibat dalam merancakkan Jualan MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas dengan harga yang menjimatkan.
Lebih menarik katanya, masyarakat juga berpeluang untuk bersemuka dan mengutarakan pandangan menerusi sesi townhall bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini adalah peluang semua lapisan masyarakat yang hadir untuk memberi pandangan dan ia akan menjadi wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun tempat adalah terhad dan orang ramai dijemput mengambil bahagian serta memberi maklum balas terus bagi tujuan penambahbaikan selain memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik yang disediakan. – MalaysiaMADANI