Seramai 260 pengunjung berjaya memperoleh pekerjaan secara langsung melalui Karnival Kerjaya MYFuture Jobs sempena Program 2 Tahun MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ketua Unit Pemerolehan Bakat, Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Izni berkata, tawaran yang disediakan dilihat memberi impak positif kepada pencari kerja.
“Sehingga 10 pagi ini, seramai 260 individu berjaya mendapat pekerjaan secara terus di karnival kali ini.
“Seramai 1,305 telah membuat pendaftaran dan daripada jumlah itu 816 orang telah hadir temu duga dan mereka sedang menunggu untuk panggilan seterusnya,” katanya kepada Malaysia MADANI.
Beliau berkata, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan dengan pelbagai kekosongan jawatan melibatkan 40 majikan ditawarkan dalam program yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu.
Pencari kerja daripada kategori Orang Kurang Upaya (OKU) juga berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan yang disediakan oleh beberapa majikan.
Bagi pencari kerja yang tidak tahu jenis pekerjaan yang ingin dimohon, pihak PERKESO turut menyediakan kaunter kaunseling kerjaya yang digunakan untuk memadankan pekerjaan yang sesuai berdasarkan kelayakan.
Katanya seramai enam kanselor ditugaskan di reruai tersebut bagi membantu dan memberi peluang kepada pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
Beliau pada masa sama mempelawa orang ramai terutama yang masih mencari pekerjaan merebut peluang dan hadir ke program ini.
Katanya jadikanlah ia sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah kerjaya yang diimpikan. – MalaysiaMADANI