Berita

Kerajaan bantu 166,274 kes dilepaskan daripada senarai bankrap

SEBANYAK 166,274 kes berjaya dilepaskan daripada masalah bankrap tahun ini sekali gus melebihi sasaran awal yang ditetapkan, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, jumlah berkenaan dikeluarkan Jabatan Insovensi sehingga Ogos lalu.


“Sehingga bulan Ogos 2024, Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi telah melepaskan sebanyak 166,274 kes bankrap, melebihi sasaran awal iaitu 130,000 kes bagi tahun 2024,” katanya ketika hadir merasmikan Malaysia Insolvency Conference 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam ucaptama Azalina berkata, beliau turut menyentuh mengenai Dasar Peluang Kedua yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya dasar diperkenalkan dilihat relevan dan penting dalam memastikan individu bankrap mendapat peluang untuk kembali bangkit dan menyumbang kepada negara.


Tegas beliau kerajaan sehingga hari ini sentiasa komited untuk melaksanakan inisiatif yang menjamin kesejahteraan rakyat.

Malah pada masa sama memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang berdaya tahan dan berdaya saing dari segi ekonomi. – MalaysiaMADANI