Berita

‘Isu rakyat Palestin turut dibincang dalam pertemuan dengan Sultan Brunei’

MALAYSIA dan Brunei kekal selari dengan pendirian sama untuk terus memperjuangkan isu Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel.

Perkara berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ketika mengadakan pertemuan selama kira-kira sejam bersama Sultan Brunei, Sultan Hasaanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

“Kesempatan yang ada kira-kira sejam ini juga digunakan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau demi berkepentingan bersama.

“Selain isu antarabangsa seperti hak rakyat Palestin dan Gaza yang perlu terus diperjuangkan untuk bebas merdeka dari cengkaman dan penindasan rejim Zionis Israel,” katanya.

Anwar bersama delegasi Malaysia tiba di bandar Seri Begawan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) .

Antara yang mengiringi Anwar termasuklah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya dalam pertemuan berkenaan beliau menggunakan peluang yang ada ini bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan inisiatif baru untuk memperkukuh hubungan dua hala untuk dimanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

“Kami juga mempunyai tekad yang sama dalam menyelesaikan isu hubungan dua hala yang telah sekian lama tertunggak sekaligus mampu mengangkat hubungan di antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih akrab lagi di masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaMADANI