Berita

Malaysia, Uzbekistan perkukuh kerjasama demi kemajuan bersama – PM

MALAYSIA memperkukuhkan kerjasama dengan Uzbekistan dalam beberapa bidang termasuk ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan demi kemajuan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Yang Dipertua Dewan Perundangan Majlis Oliy Uzbekistan, Dr Nuriddin Ismoilov.

“Beberapa perkara disentuh untuk diperhalusi dan diperkembangkan demi kemajuan bersama-sama.

“ Antaranya dari aspek kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan,” katanya.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat berkenaan di Bangunan Parlimen sebagai kesinambungan kepada lawatan Anwar ke Uzbekistan Mei lepas.

Dr Nuriddin berada di Malaysia sejak Isnin, 2 Julai untuk lawatan rasmi hingga 4 Julai ini yang bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan baik dan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Uzbekistan.

Anwar dalam pada itu berkata, selain aspek kerjasama demi pembangunan ekonomi negara, Uzbekistan turut senada Malaysia dan menggesa gencatan senjata segera diperlukan daripada tindakan ketidakperikemanusiaan rejimZionis.

“Turut disentuh adalah kerjasama dalam bidang pertanian, kewangan dan juga situasi semasa di Gaza.

“Kami senada perlunya gencatan senjata segera dari tindakan ketidakperikemanusiaan rejim Zionis,” katanya.

Beliau turut berharap hubungan kukuh Malaysia-Uzbekistan terus mekar dan akrab di masa hadapan. – MalaysiaMADANI