Berita

KPT pertimbang bantuan kepada pelajar Sudan di negara ini

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) kini sedang berbincang mengenai kaedah bantuan yang sesuai kepada pelajar Sudan yang ingin meneruskan pengajian tahun akhir di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir Zaini Ujang berkata, perkara itu disuarakan dalam pertemuan dengan Duta Besar Republik Sudan ke Malaysia, Hassan Abdel Salam Omer di pejabatnya, Putrajaya.

“Pertemuan itu adalah susulan daripada kunjungan hormat Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik, Republik Sudan, Prof. Dr. Mohamad Hassan Dahab Ahmed, ke atas Menteri Pendidikan Tinggi pada 17 Julai yang lalu.

“Semasa sesi pertemuan ini, perkara yang dibincangkan adalah kaedah bantuan yang boleh diberikan kepada pelajar Sudan yang ingin meneruskan pengajian tahun akhir mereka di Malaysia,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Azlinda Azman.

Dalam pertemuan sebelum ini, Dr Mohamad Hassan menyuarakan hasrat supaya Malaysia dapat membantu pelajar –pelajarnya dari Sudan yang sedang melanjutkan pelajaran di negara ini.

Beliau turut berharap Malaysia meringankan beban pelajar termasuklah mempertimbangkan kemudahan visa untuk keluarga pelajar ke negara ini terutama libatkan pelajar prasiswazah.

Selain itu beliau menaruh harapan untuk mendapat pengurangan yuran, penawaran biasiswa serta kemudahan pemindahan kredit kepada pelajar tahun akhir.

Katanya pertimbangan berkenaan dimohon akibat peperangan sekali gus membolehkan mereka menamatkan pengajian di negara ini. – Malaysia MADANI