PERDANA Menteri yakin Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam meneraju dalam bidang sains, teknologi, peralihan tenaga, digital dan kemampanan alam sekitar terutamanya menjelang kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan perkara berkenaan ketika menerima kunjungan hormat tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka Amerika Syarikat (AS), Proffesor Jeffrey D. Sachs.
“Perbincangan kami seputar isu global dan serantau berkait perihal ekonomi, teknologi dan digital, kemampanan alam sekitar serta situasi geopolitik di rantau ini serta di peringkat dunia.
“Ia termasuk perihal persaingan antara China dan Amerika Syarikat dan peranan negara-negara ASEAN terutamanya Malaysia,” katanya.
Anwar pada masa sama menegaskan Malaysia mempunyai hala tuju yang jelas serta dasar-dasar yang penting seperti sasaran net zero carbon pada tahun 2050.
Ia termasuklah kemajuan dalam melaksana objektif-objektif Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sebagai usaha dan upaya dalam melonjak darjat dan martabat negara. – MalaysiaMADANI