Berita

Nilai eksport Malaysia-Arab Saudi lebih RM2 bilion bagi 2023

DATA perdagangan pertanian bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport Malaysia ke Arab Saudi sebanyak RM2.64 bilion yang sekaligus menyumbang perdagangan positif kepada negara, kata Datuk Seri Mohamed Sabu. 

Justeru itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pihaknya menekankan potensi beberapa produk Malaysia untuk dieksport ke Arab Saudi. 

“Malaysia akan meneruskan kerjasama dua hala dengan Arab Saudi terutama dalam sektor pertanian, penyelidikan dan usaha untuk meningkatkan akses pasaran. 

“Ia meliputi buah-buahan tropika iaitu buah nangka dan nanas, produk nilai tambah haiwan dan makanan haiwan (termasuk makanan haiwan berasaskan protein serangga yang diproses). 

“Selain itu beberapa produk lain termasuklah produk sedia untuk dimakan (ready-to-eat) antaranya produk telur, tenusu serta produk akuatik seperti ikan patin sejuk beku,” katanya. 

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya, Menteri perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Al-Kassabi di Wisma Tani, Putrajaya. 

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam binti Alwi; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Akma binti Ngah Hamid serta pegawai-pegawai KPKM. 

Dalam pertemuan sulung itu, Mohamad berkata, Arab Saudi merupakan rakan dagangan terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar Malaysia. 

Katanya, dalam kalangan negara-negara Asia Barat, Arab Saudi merupakan rakan dagangan terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar Malaysia. 

Dalam pertemuan sama, MARDI juga menyatakan hasrat untuk menyambung kerjasama sedia ada antara MARDI dan National Research and Development Center for Sustainable Agriculture (ESTIDAMAH) terutamanya mengenai proses mengimport keratan buah naga dan sarang lebah madu. 

Malah, pihak Arab Saudi juga berkongsi inisiatif inovasi Wawasan 2030 Kerajaan Arab Saudi yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia terutamanya dalam bidang pertanian serta membuka peluang kerjasama baharu bagi kedua-dua negara. – MalaysiaMADANI