Berita

Inisiatif subsidi tiket FLYsiswa disambung semula

Kerajaan bersetuju menyambung semula inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan (FLYsiswa) bermula 2 Mei lalu.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif pembelian tiket berkenaan melibatkan semua semua pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan juga Institu Pendidikan Guru (IPG).

Katanya, pelajar yang layak berpeluang menerima baucer sebanyak RM300 untuk pembelian tiket berkenaan dan buat masa ini pelajar yang berkelayakan itu terdiri daripada pelajar yang masih berdaftar di IPTA sehingga 31 Disember tahun lepas.

“Bagi pelajar baharu bagi sesi kemasukan 1 Januari sehingga 31 Mac tahun ini, ia akan dilaksanakan dalam fasa kedua mulai Julai depan,”katanya.

Bagaimanapun sekiranya tiket dibeli adalah kurang daripada harga berkenaan baki baucer digital akan dikekal dalam ‘credit shell’ dan boleh digunakan untuk pembelian seterusnya.

Justeru, MOT menggesa pelajar yang layak boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan (https://subsidiudara.mot.gov.my/) dan institusi pengajian masing-masing. – MalaysiaMADANI