Berita

Malaysia tak campur tangan dalam urusan syarikat global dengan mana-mana negara

MALAYSIA mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat desakan segelintir pihak tidak berpuas hati dengan penyertaan syarikat pertahanan global dalam Pameran Defence Service Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Sebagai sebuah negara perdagangan bebas, Malaysia memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini.

“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan,” katanya.

Penganjuran pameran berkenaan tegas beliau adalah sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.

“Pameran ini tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

“Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” katanya.

DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Malah, Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya.

Kementerian Pertahanan turut menegaskan dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi terkini, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia. – MalaysiaMADANI