Berita

KKDW peruntuk lebih RM77 juta untuk Sabah

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menyediakan peruntukan dan inisiatif sebanyak RM77.35 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa di Sabah.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Sentuhan Kasih Desa anjuran KKDW dengan kerjasama HAWA Malaysia di Dataran Tamu Sukau, Kinabatangan, semalam.

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya memberi jaminan akan memastikan produk-produk desa yang dipasarkan usahawan tempatan itu mendapat tempat yang sewajarnya.

Ini kerana produk buatan usahawan tempatan diyakini mampu menerobos ke pasaran dunia sekiranya pengeluaran produk dilakukan secara konsisten dan pengeluaran mereka ditingkatkan.

“Saya kagum melihat pengusaha-pengusaha tempatan yang berani melibatkan diri dalam bidang perniagaan yang luas seperti perusahaan bakeri, penghasilan madu kelulut, jualan cendawan tiram serta ternakan ikan air tawar.

“Ini membuktikan bahawa usahawan tempatan adalah hebat dan mampu menghasilkan produk yang berkualiti,” katanya, ketika turut menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan &Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Sabah.

Beliau turut meluangkan masa melawat reruai oleh pelbagai usahawan tempatan kendalian agensi-agensi di bawah KKDW seperti FELCRA BERHAD dan MARA termasuk syarikat-syarikat yang berada di bawah naungan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), serta Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS). -MalaysiaMADANI