Berita

PADU dilancar pastikan subsidi sampai, ukur sosioekonomi rakyat lebih tepat

Seiring dengan kemajuan teknologi, kerajaan telah mengumumkan pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama atau singkatannya PADU pada 2 Januari 2024.

PADU merupakan pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat.

Bermula 2 Januari 2024, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat anda ke dalam PADU.

Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Apa itu Sistem Pangkalan Data Utama?

Pangkalan Data Utama (PADU), mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. Maklumat profil ini akan diperolehi melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber.

Anda boleh mengemaskini maklumat bermula 2 Januari 2024 dan seterusnya pada bila-bila masa sekiranya terdapat sebarang perubahan seperti alamat semasa, maklumat pekerjaan dan pendapatan. Sila rujuk Portal PADU bagi sebarang pengumuman terkini.

PADU adalah berlainan dengan program ID Digital Nasional (IDN).

PADU merupakan satu pangkalan data yang mengandungi maklumat individu manakala IDN merupakan pengenalan diri secara digital yang memudahkan individu untuk melaksanakan urusan dalam talian.

Buat masa kini, sistem tersebut menggunakan pengesahan identiti individu melalui e-KYC sahaja.

Pengintegrasian IDN dengan Sistem Pangkalan Data Utama akan dilaksanakan kelak.

Objektif & Matlamat

  • Penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan “near real time” bagi digitalisasi dan penghasilan analitik berkala.
  • Penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data.
  • Membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) diperkenalkan untuk mencapai matlamat berikut:

  • Meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
  • Mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad.
  • Memperkasa sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat.
  • Merapatkan jurang sosioekonomi dengan mengimbangi keperluan rakyat.
Foto Facebook Anwar Ibrahim

Kenapa Perlu Daftar PADU?

Dengan mendaftar dan mengemaskini maklumat dalam portal ini, anda dapat memastikan anda tidak tercicir daripada menerima bantuan atau perlindungan sosial sekiranya layak.

Tempoh tiga (3) bulan pengemaskinian maklumat dalam Fasa 1 untuk membolehkan Kerajaan memproses data berkenaan bagi menentukan kelayakan individu berdasarkan jenis bantuan Kerajaan.

3 Langkah Daftar Online PADU 2024

Berikut adalah langkah yang perlu dilakukan untuk mendaftar:

MAKLUMAT ASAS

Layari www.padu.gov.my. Tekan butang ‘DAFTAR SEKARANG’. Maklumat pendaftaran mestilah sama seperti yang tertera pada kad pengenalan. Isikan nombor telefon bimbit dan e-mel yang sah serta aktif untuk penerimaan OTP.

PENGESAHAN AKAUN

Anda perlu mengisi OTP yang diterima melalui e-mel atau SMS dalam tempoh 3 minit. Permohonan semula diperlukan sekiranya tidak menerima OTP dalam tempoh ditetapkan atau tamat tempoh pengisian.

TETAPKAN KATA LALUAN

Kata laluan mestilah ditetapkan dengan kombinasi huruf besar, kecil dan simbol istimewa. Kata laluan ini diperlukan untuk log masuk bagi proses pengemaskinian maklumat.

Pendaftaran Secara Manual Di Kaunter

Memandangkan capaian internet di bandar dan luar bandar yang berbeza, maka kerajaan telah memperkenalkan pelbagai mod pendaftaran dan pengemaskinian maklumat setiap warganegara Malaysia di sistem Sistem Pangkalan Data Utama:

Bagi pendaftaran secara manual, pastikan anda membawa dokumen berikut:

  1. Kad pengenalan & salinan kad pengenalan
  2. Maklumat bank
  3. Pendidikan tertinggi
  4. Maklumat pekerjaan
  5. Maklumat pendapatan
  6. Maklumat komitmen

Info Tambahan

Walaupun anda sekarang tidak memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan, anda digalakkan mendaftar dan membuat pengemaskinian bagi memastikan anda tidak tercicir untuk mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sedikit maklumat tambahan:

Adakah Sistem Pangkalan Data Utama@PADU sama dengan program ID Digital Nasional (IDN)?

Jawapan:

TIDAK. Sistem Pangkalan Data Utama merupakan satu pangkalan data yang mengandungi maklumat individu manakala IDN merupakan pengenalan diri secara digital yang memudahkan individu untuk melaksanakan urusan dalam talian.

Buat masa kini, Sistem Pangkalan Data Utama menggunakan pengesahan identiti individu melalui e-KYC (Electronic Know Your Customer) sahaja.

Pengintegrasian IDN dengan Sistem Pangkalan Data Utama akan dilaksanakan kelak.

Maklumat lanjut

Untuk maklumat lanjut, sila layari pautan portal PADU di laman web rasmi https://padu.gov.my/

Sumber: https://padu.gov.my/
https://ecentral.my/