Berita

Invest Malaysia New York perjelas hala tuju Ekonomi Madani

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) menjadi tuan rumah kepada penganjuran Invest Malaysia New York (Invest Malaysia NY 2023) di New York City.

Ini adalah sebagai sebahagian daripada siri Invest Malaysia Exchange untuk 2023.

Bertemakan ‘Mendapatkan semula Malaysia sebagai Peneraju di Asia’, Invest Malaysia NY 2023 tertumpu dalam mempromosikan kekuatan negara dan bagaimana kerajaan berlandaskan rangka kerja Ekonomi MADANI bakal mewujudkan semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perasmian dan ucaptama Invest Malaysia NY 2023, berkata rangka kerja ekonomi MADANI adalah tunjang perjalanan transformasi Malaysia.

Beliau berkata, ia menawarkan pelan hala tuju yang jelas untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dan agenda kemampanan jangka panjang.

Katanya, tiga tonggak penting dalam rangka kerja pemulihan ekonomi dan meningkatkan daya saing Malaysia iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan Rancangan Malaysia Kedua Belas Penggal Pertengahan

Semakan (12 MP MTR).

Selain itu, beliau turut berkongsi rancangan Malaysia dalam menuju ke arah pertumbuhan mampan, sejajar dengan sasaran mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Perdana Menteri turut bersama dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai sesi soal jawab Invest Malaysia NY 2023 yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

Sesi itu membincangkan keutamaan rangka kerja ekonomi MADANI dengan lebih terperinci,

mengetengahkan fokus dalam menangani penambahbaikan dasar fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sesi diteruskan dengan perbincangan ‘Ketahanan Makro dan Wawasan Pasaran Malaysia’ yang disertai oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Umar Swift.

Perbincangan itu menjurus kepada tinjauan komprehensif iklim makroekonomi Malaysia serta sektor kewangan dan dinamik pasaran modal yang menyumbang kepada kestabilan dan potensi pertumbuhan Malaysia.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, kesudian Perdana Menteri dan Menteri MITI serta peneraju utama negara lain dalam Invest Malaysia NY 2023 adalah satu penghormatan kepada Bursa Malaysia.

“Kami berbesar hati kerana Perdana Menteri dapat menyertai kami, untuk berkongsi reformasi ekonomi Malaysia rancangan untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur melalui pelbagai dasar di bawah rangka kerja ekonomi MADANI.

“Pasaran modal Malaysia bersedia untuk menyokong naratif pertumbuhan ekonomi baharu ini.

“Bersama Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta pihak berkepentingan lain, Bursa Malaysia akan meluaskan pembiayaan, peluang penciptaan pelaburan serta menarik pelabur.

“Kami tetap berdedikasi untuk melaksanakan pembaharuan struktur pasaran bagi meningkatkan kedinamikan dan daya saing Malaysia,” katanya.