Berita

Penubuhan 1,878 Komuniti Madani perkasa usaha alur maklumat kerajaan

TASEK GELUGOR: Kerajaan yakin penubuhan 1,878 Komuniti Madani di seluruh negara mampu memperkasakan usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama semua pihak pada peringkat akar umbi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri bersetuju dengan penubuhan itu dan bagi Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan menubuhkan 120 Komuniti MADANI membabitkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Komuniti MADANI adalah badan sukarela pelbagai kaum yang diurus tadbir oleh JaPen untuk memupuk nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, selain membantu menyalurkan maklumat serta inisiatif kerajaan yang sahih dan pantas ke peringkat akar umbi secara berterusan.

“Kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam usaha melestarikan komuniti yang berinformasi bagi menyampaikan maklumat sahih, telus dan bermanfaat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Prapelancaran Komuniti Madani di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Roslan Ariffin.

Fahmi berkata, usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Malaysia Madani adalah tanggungjawab bersama dan beliau yakin Komuniti Madani bersedia bergerak sebagai satu pasukan yang mendukung semangat perpaduan demi kesejahteraan negara.

“Konsep Malaysia Madani yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan keseimbangan komuniti dalam pembangunan negara supaya kemajuan serta kemakmuran dirasai rakyat.

“Malaysia Madani adalah panduan dan ikhtiar secara bersepadu sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi bertunjangkan sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian,” katanya. – BERNAMA