Berita

Konvensyen MADANI, platform berkongsi naratif Kerajaan Perpaduan

SEREMBAN, 21 Jun– Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Sembilan menyertai Konvensyen Madani yang berlangsung selama satu hari pada Rabu di Seremban.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun konvensyen itu bertujuan mendedahkan naratif pembentukan Kerajaan Perpaduan terutama di Negeri Sembilan dengan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk membentuk politik baharu yang lebih progresif dalam usaha memajukan negeri.

“Saya melihat bahawa apa yang penting sekarang untuk mereka sampaikan kepada golongan sasar mereka terutama masyarakat di kampung-kampung tentang gagasan Malaysia Madani,” kata Aminuddin kepada pemberita pada Program Konvensyen Malaysia Madani di sini.

Tambahnya, beliau turut berbesar hati menerima bantuan jentera dari mana-mana negeri yang ingin menabur bakti dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di negeri itu.

Ia berikutan laporan media yang menyatakan bahawa Pengerusi Dua, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse bersedia menghantar jenteranya bagi membantu gerak kerja kempen di Negeri Sembilan.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

Sumber: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/65885-konvensyen-madani-platform-berkongsi-naratif-kerajaan-perpaduan