PUTRAJAYA: Komitmen dan kesungguhan pegawai dan kakitangan Wisma Putra di luar negara mempromosi dasar Madani Kerajaan Perpaduan mendapat pujian Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri bangga dengan komitmen dan kesungguhan ditunjukkan kakitangan dan pegawai Wisma Putra yang disifatkannya banyak membantu dalam menjayakan lawatan rasminya ke luar negara.
Beliau berkata, mereka sudah membuktikan dalam memberi khidmat untuk negara serta mempromosikan dasar Madani dan idea di negara ini.
“Kerajaan Perpaduan ini menyatakan dengan jelas bahawa kita meningkatkan peranan dalam hal ehwal antarabangsa dengan negara jiran dalam ASEAN.
“Dengan pengalaman saya yang terhad berkhidmat untuk negara memasuki tempoh enam bulan dan mengembara ke lebih 10 negara, saya mesti mengatakan bahawa apa sahaja kejayaan yang saya peroleh adalah disebabkan komitmen tanpa kenal penat lelah oleh Menteri Luar dan keseluruhan keluarga di Wisma Putra.
“Itu membuat saya bangga dengan cara anda bekerja, menyediakan nota, laporan yang komprehensif dan tahap kecekapan yang sangat baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Luar di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Anwar berkata, dalam lawatan ke negara seperti China, Kemboja, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan juga Turkiye ketika kejadian gempa bumi, dapat dilihat kakitangan dan pegawai Wisma Putra menjalankan tugas dan khidmat kepada negara dengan serius.
“Saya nak ambil kesempatan mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan khidmat yang ditunjukkan pegawai, profesional dan penjawat awam di Wisma Putra yang sangat membanggakan saya.
“Percayalah bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan terus mengangkat peranan dan martabat supaya hubungan antarabangsa akan diberikan keutamaan dan dengan itu peranan rakan-rakan (kakitangan Wisma Putra) juga tentunya akan bertambah,” katanya.