Berita

PELBAGAI KAUM CERIA, TERUJA HADIR RUMAH TERBUKA MALAYSIA MADANI KELANTAN

KOTA BHARU, 12 Mei (Bernama) — Orang ramai dari pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV, rata- rata ceria dan jelas teruja untuk mendekati dan melihat sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Noradiah Harun, 49 yang tinggal di Kampung Kedai Banggu di sini hadir ke majlis malam ini dengan harapan dapat melihat Anwar secara langsung.

“Jika sebelum ini kita lihat Perdana Menteri di televisyen, hari ini saya mengambil peluang untuk mendekati pemimpin nombor satu negara. Saya rasa ini adalah majlis hari raya yang dibuat secara terbuka dan santai bersama rakyat Kelantan, yang berhasrat bertemu dan bergambar dengannya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Peniaga wanita itu berkata beliau meminati ketokohan perdana menteri kerana dia dilihat mempunyai keperibadian yang baik dan disegani rakyat.

Bagi S.Nilai Valagi, 63 dari Bandar Baru Kubang Kerian di sini pula, katanya beliau hadir ke majlis itu untuk bersama kaum lain meraikan Majlis Rumah Terbuka, dan bersama- sama meraikan suasana Aidiltri bersama rakan-rakan.

“Saya tinggal di Kelantan sejak berumur lima tahun lagi, dan sudah biasa, faham sangat dengan budaya orang Melayu, Cina dan Siam di negeri ini.

“Setiap kali perayaan Deepavali, memandangkan Kelantan tidak ramai kaum India, saya buat rumah terbuka, sebab itulah kali ini saya teruja untuk meraikan majlis hari ini beramai-ramai,” katanya yang hadir bersama suami.

Bagi Ahrin Alak, 62, yang datang dari Kampung Terbak, Tumpat, katanya beliau hadir ke majlis itu bersama isteri sejak pukul 6 petang.

“Saya bersemangat datang ke sini kerana saya suka tengok orang ramai, dan kalau bernasib baik, saya mahu berjumpa Perdana Menteri, mahu bersalam dengannya kerana minat dengan dia.

“Makanan yang disediakan juga banyak dengan pelbagai juadah antaranya laksa, ketupat, sate, kambing golek, buah-buahan dan air,” katanya. — BERNAMA