Berita

Kerajaan Perpaduan segera selesai masalah prasarana air, jalan di Sabah

PENAMPANG – Kerajaan Perpaduan sentiasa bertekad dalam usaha menyelesaikan masalah prasarana bekalan air serta jalan di Sabah dengan kadar segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekerapan kedatangannya ke Sabah dalam jangka masa singkat kerana ingin memenuhi tanggungkawab selaku pemimpin utama negara.

“Ketua Menteri menyebutkan kepada saya, sementara kerajaan di bawah pimpinannya kuat dan padu, beliau menyatakan ada beberapa masalah yang patut diselesaikan dengan baik,

“Ia tidak cukup dengan kekuatan negeri sahaja tetapi harus padu dengan kerajaan persekutuan. Antara isu besar adalah isu air dan jalan-jalan.

“Maka saya telah beri keputusan esok pagi insyahallah, saya akan mengadakan mesyuarat tertinggi peringkat persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan masalah air bersama dengan kerajaan negeri,” katanya sewaktu berucap sempena Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Tahun 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyatakan kerajaan baru-baru juga sudah mengumumkan peruntukan untuk memperbaiki jalan raya ditingkatkan dan peruntukan tertinggi jalan-jalan di Malaysia adalah bagi negeri Sabah.

“Ramai menteri, ahli Parlimen, ADUN menyatakan saya perlu jalan ke kawasan pedalaman, barulah tahu keadaan sebenar dan kita sudah minta tindakan segera malahan bukan sahaja Pan Borneo yang perlu diselesaikan tetapi jalan-jalan yang rosak turut diminta pembaikan segera.

“Sebahagian projek pembaikan ini kita serahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri manakala sebahagiannya akan mengikut peraturan biasa kewangan. Semua ini jaminan Kerajaan Perpaduan yang serius dan kita bertekad untuk menyelesaikan semua masalah ini dengan kadar yang segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE