Berita

Jelajah Ikon MADANI di 6 negeri bermula Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Jelajah Ikon Madani bakal menghimpunkan tokoh dalam pelbagai bidang untuk berkongsi kisah kejayaan dan inspirasi kepada ribuan mahasiswa dan komuniti di enam negeri, bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata siri jelajah itu akan diadakan di enam universiti di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya, jelajah yang bakal menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum itu bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai gagasan Malaysia Madani.

Jelajah itu akan bermula Sabtu ini di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan, dengan tokoh yang akan ditampilkan adalah pengacara Datuk Aznil Nawawi dan dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Dalam pertemuan itu, Aznil akan bersama dengan 1,000 pelajar yang kita kumpulkan di seluruh Negeri Sembilan, bercerita tentang pengalaman beliau, inspirasi yang mereka boleh dapat daripada ikon ini dan ia satu libat urus yang baik untuk memulakan jelajah.

“Selepas itu kita akan pergi ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah disusuli UiTM Permatang Pauh di Pulau Pinang.

“Jelajah akan berakhir di UiTM Shah Alam bersama 4,000 pelajar yang akan kita kumpulkan, dengan ikon yang akan muncul pada malam itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiarkan secara langsung di TV3, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus memaklumkan antara tokoh lain yang akan turut ditampilkan sepanjang jelajah itu adalah pakar kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang kini memegang jawatan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Selain itu, katanya, tokoh lain yang diangkat sebagai ikon Madani termasuklah tokoh pendidikan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Malaysia Airlines Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta lagenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei.

“Kita buat begini kerana dengan jelajah dan ikon yang muncul itulah, baru kita boleh sampaikan apa itu Malaysia Madani dalam bahasa yang mudah serta ada daya tarikan untuk menarik ramai anak-anak muda supaya memahami bahawa ini Malaysia Madani, kita nak bentuk bangsa Malaysia yang bersatu,” katanya.

Selain menyantuni golongan pelajar menerusi Jelajah Ikon Madani, Mohammad Agus berkata pihaknya juga akan bertemu komuniti setempat untuk memberi penerangan dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf, B40 dan mereka yang memerlukan.

Beliau juga memberi jaminan akan meneruskan pelbagai usaha menerusi J-KOM untuk memastikan tiga fungsi utama jabatan itu tercapai, iaitu membentuk masyarakat berbudaya ilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik.

“Kita akan pergi kepada masyarakat setempat, kita akan memberi latihan, membuat program, kita akan bersama mereka, kita akan bernyawa dengan kehidupan mereka.

“Saya tetapkan kita buat sekurang-kurangnya empat kali seminggu untuk program bertemu komuniti di desa, tidak termasuk program latihan yang juga kita laksanakan.

“Selama tiga bulan saya di JKOM, kita telah lakukan secara berterusan tanpa putus

dari segi mendekati komuniti di desa. Dari segi ini, kami berpuas hati,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN