Berita

Tambah baik fasiliti KK Kuala Balingian, tingkat kecekapan perkhidmatan masyarakat luar bandar

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memastikan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti, saksama dan menyeluruh kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan luar bandar.

Untuk itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab mengadakan lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan (KK) Kuala Balingian, Mukah, Sarawak bagi meninjau pengoperasian fasiliti, penyampaian perkhidmatan kesihatan primer serta keperluan naik taraf infrastruktur klinik.

KKM berkata, sepanjang sesi lawatan tersebut, Dr Mahathar melakukan tinjauan berstruktur ke unit-unit utama termasuk Jabatan Pesakit Luar dan Unit Kesihatan Ibu dan Anak bagi melihat secara dekat aliran penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat.

“Selaras dengan hasrat KKM ke arah pendigitalan kesihatan, KK Kuala Balingian telah mula menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) sejak bulan Disember 2025. 

“Pelaksanaan sistem ini dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan pesakit secara signifikan,” kata KKM menerusi laman media sosialnya.

Selain daripada itu, KKM berkata, tinjauan turut dilakukan terhadap keadaan fizikal bangunan klinik serta kuarters kakitangan bagi menilai kapasiti, keselamatan premis dan infrastruktur sokongan sedia ada.

Tambahnya lagi, antara perkara lain yang dikenal pasti dalam lawatan itu adalah keperluan pengukuhan sumber manusia membabitkan penjawatan kejururawatan serta cadangan penambahbaikan fasiliti bagi tahun 2027. 

“Antaranya pemasangan pagar keselamatan premis, kerja-kerja naik taraf sistem saliran perparitan bagi mengelakkan limpahan air ketika hujan lebat, pemasangan awning bangunan serta penyediaan tangki simpanan air untuk kegunaan klinik dan kuarters,” ujarnya.

Menurutnya, KKM komited memastikan setiap cabaran operasi dan keperluan penambahbaikan di KK Kuala Balingian diberi perhatian sewajarnya agar dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, selamat dan selesa buat warga kerja serta rakyat Sarawak, khususnya komuniti di Daerah Mukah dan Kuala Balingian. -MalaysiaMADANI