Ketika mana ketegangan geopolitik kian meruncing, Malaysia menegaskan bahawa sifat keterbukaan dan kerjasama ekonomi perlu terus didukung dan dipertahankan.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di Shenzhen, China.
Untuk itu kata beliau, Malaysia menyeru agar sistem dan tatacara perdagangan pelbagai hala berpaksi pada hukum dan peraturan diperkukuh dan keseragaman ekonomi serantau diperdalam.
“Dalam premis yang sama, makna yang lebih mendasar kepada konsep kemakmuran bersama terletak pada sejauh mana pekerjaan yang diwujudkan adalah lebih baik, taraf hidup yang meningkat dan peluang yang sedia dan lebih saksama.
“Sementalahan, prinsip ini juga mesti memacu dan memandu kemajuan di bidang kecerdasan buatan,” kata Perdana Menteri menerusi laman media sosialnya.
Justeru itu menurut Perdana Menteri, Malaysia mesti mendukung tatakelola digital dan AI yang berpegang pada etika, memperkukuh keselamatan siber dan memastikan manfaat teknologi turut dinikmati oleh kuasa ekonomi dan gugusan negara di dunia selatan.
Lantaran itu, Perdana Menterii menghargai prakarsa Presiden China, Xi Jinping dalam merangkul Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC kali ini.
Beliau berkata, usaha itu pastinya menjamin serta membuka ruang wacana dan persefahaman yang bermakna ke arah keamanan dan kerukunan yang berkekalan.
“Mesti ditegaskan di ruang dan pentas ini mengenai gagasan besar Confucius tentang keharmonian dalam kepelbagaian yang wajar menjadi pedoman kita di Shenzhen.
“Meski dalam keadaan dunia yang berantakan kini, Asia Pasifik mampu memperlihatkan kepada dunia bahawa persaingan boleh berjalan seiring dengan kerjasama dan bahawa hasil kemajuan boleh dikongsi dengan lebih adil dan manusiawi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
