Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi negara selamat tiba di Shenzhen, Republik China pada tengah malam tadi dari Manila.
Berada di China, Perdana Menteri membawa misi negara di Sidang Kemuncak APEC 2026 yang antaranya akan memperkukuh usaha perdagangan dan pelaburan serantau.
Selain itu beliau berkata, Malaysia juga terlibat dalam memperluas kerjasama ekonomi digital serta memastikan perusahaan kecil dan sederhana turut meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik.
“Dalam suasana ekonomi dunia yang kian mencabar, Malaysia akan terus mendukung perdagangan yang terbuka, adil serta berlandaskan hukum dan peraturan.
“Kerjasama ini mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaaan yang lebih baik, ruang yang lebih luas bagi usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan taraf hidup yang lebih baik buat rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN–Amerika Syarikat, Perdana Menteri menghargai pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap usaha Malaysia membantu Thailand dan Kemboja meredakan ketegangan serta mencari jalan ke arah keamanan.
Perdana Menteri berkata, komitmen kedua-dua negara untuk meneruskan dialog amat penting bagi menjamin keamanan yang berkekalan di sempadan dan kestabilan serantau.
Menurut beliau, pertemuan tersebut turut membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dengan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama termasuk perdagangan, pelaburan dan teknologi.
Tambah beliau lagi, hubungan yang ada harus terus diperkasa dengan tumpuan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.
“Sekalung penghargaan kepada Presiden Marcos dan kerajaan Filipina atas kepengerusian pada kali ini yang begitu membanggakan warga ASEAN seluruhnya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
