Berita

Perkasa industri ikan hiasan negara, kerajaan sedia peruntukan RM1.4 juta tahun depan

Menyedari potensi besar industri ikan hiasan negara, kerajaan memperuntukkan RM1.4 juta bagi tahun 2027 untuk memperkasa sektor tersebut.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berkata, peruntukan tersebut melibatkan bantuan input, peralatan ternakan dan sokongan pemasaran kepada pengusaha tempatan.

“Peruntukan yang diumumkan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain merangkumi bantuan berjumlah RM1 juta untuk Program Pemerkasaan Industri Ikan Hiasan bagi bantuan input, peralatan ternakan dan peluasan pasaran,” kata DOF menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, menerusi Program AGRIMATCH bagi bantuan input pemasaran, peruntukan sebanyak RM400,000 telah disediakan.

Selain itu katanya, peruntukan sehingga RM50,000 bagi setiap permohonan yang layak, tertakluk kepada syarat dan kelulusan.

Tambahnya, pihak jabatan menyasarkan pengeluaran 166 juta ekor ikan hiasan menjelang 2030 melalui peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi moden dan pengukuhan daya saing industri di pasaran antarabangsa.

“Pengusaha yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui Pejabat Perikanan Daerah,” ujarnya. -MalaysiaMADANI