Deepavali adalah perayaan cahaya yang membawa makna mendalam kepada masyarakat India tentang kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan, kebaikan mengatasi kejahatan serta keadilan mengatasi kezaliman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat tersebut ditekankan oleh beliau ketika bersama masyarakat pelbagai kaum dalam majlis sambutan Sinar Deepavali MADANI di Machap Umboo, Melaka.
Tegas beliau, kekuatan Malaysia terletak pada kesediaan seluruh rakyat untuk menghormati tradisi, budaya dan kepercayaan antara satu sama lain.
“Di samping memastikan setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang mendapat tempat yang sewajarnya dalam arus pembangunan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, prinsip tersebut turut diterjemahkan melalui ikhtiar Kerajaan MADANI menerusi bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Selain itu beliau berkata, Kerajaan MADANI turut meningkatkan peruntukan buat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta serta membuka akses pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN kepada masyarakat India yang memerlukan.
Tambah beliau, tekad kerajaan adalah membina sebuah negara yang bersatu, menolak rasuah dan penyelewengan serta menjunjung keadilan dan martabat setiap insan.
“Tiada rakyat yang harus terpinggir dan tiada kelompok yang harus berasa tersisih daripada cita-cita besar Malaysia MADANI.
“Deepavali Nalvaalthukkal! Nandri, vanakkam,” ujar Perdana Menteri. -MalaysiaMADANI
