Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.28 juta kepada 164 buah rumah ibadat Hindu, Sikh dan Kristian berbangsa India di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, bantuan itu disalurkan menerusi Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI bagi memperkukuh peranan rumah ibadat sebagai pusat pembangunan komuniti setempat.
Beliau berkata, kedua-dua program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa institusi rumah ibadat serta memperluas peranannya dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
“Bantuan kewangan ini bertujuan untuk mempergiat aktiviti komuniti yang bermanfaat, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan kerohanian dan sahsiah, kebudayaan serta pemerkasaan generasi muda,” kata beliau menerusi laman media sosial KESUMA.
Menurut beliau lagi, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sokongan seumpama itu demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat India, di samping memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. -MalaysiaMADANI
