Berita

Bukan sekadar jualan murah, platform erat hubungan dan perluas akses pasaran

Program Semarak Tani @ Jualan Agro MADANI di SJK(C) Keh Seng, Bukit Baru, Melaka berlangsung dengan meriah menerusi pelbagai aktiviti jualan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, program tersebut turut menyediakan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan hasil pertanian dan produk agromakanan pada harga berpatutan.

Katanya, program itu dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus. 

KPKM berkata, selain menawarkan pelbagai produk agromakanan, program itu turut dimeriahkan dengan aktiviti kemasyarakatan seperti pertandingan dam aji, persembahan tarian naga dan jamuan rakyat. 

Menurutnya, pengisian seumpama itu bukan sahaja memeriahkan suasana program, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.

“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperluas akses pasaran bagi hasil pertanian tempatan, membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta memperkukuh pemasaran produk agromakanan,” kata KPKM menerusi laman media sosialnya. 

Pada masa yang sama, katanya, program itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyokong produk tempatan dan usahawan yang terlibat dalam rantaian pemasaran agromakanan negara.

“Usaha seumpama ini diharap dapat terus memberi manfaat kepada pengguna, usahawan dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi memperkasa sektor agromakanan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaMADANI