Seramai 69 orang pewaris Kalamullah negara berjaya mengorak langkah meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda al-Qiraat di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra, Mesir.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, bersesuaian dengan bulan Oktober, bulan al-Quran, kumpulan graduan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat Darul Quran JAKIM serta Maahad-Maahad Tahfiz Negeri (LTDQ) seluruh Malaysia telah selamat tiba di Kaherah bagi tujuan menimba ilmu.
Kata JAKIM, ketibaan para pelajar telah disambut meriah oleh Pejabat Atase Agama Kaherah dan menguruskan urusan ketibaan kumpulan pelajar tersebut.
“JAKIM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada 69 pelajar serta ibu bapa dan keluarga atas pencapaian dan kejayaan melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan menuntut ilmu,” kata JAKIM menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya, langkah itu menjadi sebahagian daripada kesinambungan usaha kerajaan untuk terus melahirkan generasi al-Quran yang berilmu, beramal dan berbakti.
Malah katanya, usaha berterusan itu bagi memastikan tradisi keilmuan al-Quran dan al-Qiraat terus subur dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Teruskan melakar langkah bersama Kalamullah,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
