Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan persetujuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain memberi fokus kepada kemajuan pelaksanaan, mesyuarat itu turut meneliti beberapa perkara strategik yang menyentuh secara langsung kepentingan serta masa depan Sabah dan Sarawak.
“Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk Inisiatif Pemerkasaan Keselamatan Sempadan Sabah dan Sarawak, Pertambahan Perjawatan serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, fokus perbincangan membabitkan Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Hadir sama pada mesyuarat itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perdana Menteri berkata, setiap perkara diteliti secara tuntas dalam semangat Persekutuan yang kukuh, dengan tekad memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak sentiasa dihormati, dipelihara dan diterjemahkan melalui keputusan serta pelaksanaan yang berkesan.
Beliau berkata, MA63 bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang saban tahun, ia adalah amanah dan iltizam nasional yang mesti kita lunaskan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.
Tegas beliau, apa yang telah dipersetujui harus dilaksanakan, manakala perkara yang masih belum selesai mesti terus dirunding dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan semangat muafakat.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan akan terus membuka seluas-luasnya ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, berteraskan semangat perpaduan sebagai rakan dalam Persekutuan, sekali gus memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat.
“Insya-Allah, kita akan ketemu semula di Kuching, Sarawak minggu hadapan bagi meraikan Hari Malaysia, menginsafi sejarah pembentukan negara dan memperteguh tekad untuk membina sebuah Malaysia yang lebih utuh, adil dan sejahtera untuk semua,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
