Ekonomi negara mencatat pertumbuhan enam peratus pada suku kedua tahun ini dan pencapaian baik itu melangkaui semua unjuran awal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor perladangan dan komoditi turut menyumbang kepada prestasi baik tersebut, termasuk kumpulan pekebun kecil yang secara keseluruhannya memberikan sumbangan besar kepada ekonomi serta hasil negara.
Sehubungan itu kata beliau, kerajaan perlu mendengar suara dan pandangan para pekebun kecil, seterusnya membela nasib kumpulan tersebut.
“Pagi ini saya ke Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk bertemu warga kementerian serta para pekebun kecil, selain mendengar sendiri pandangan, keluhan dan permasalahan yang mereka hadapi.
“Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah soal pendapatan, peningkatan mutu dan hasil pengeluaran, kemudahan jalan ladang serta keadaan perumahan pekebun kecil,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Hadir sama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Usai perhimpunan, Perdana Menteri berkata, satu pertemuan tertutup bersama Menteri dan pimpinan kementerian bersama wakil pekebun kecil serta pengusaha sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf dan perkayuan.
Dalam sesi khas itu, Perdana Menteri berkata, suara dan keluhan pekebun didengari secara langsung serta tanpa tapisan berhubung isu yang dihadapi di lapangan.
Jelas beliau, antara perkara yang dibangkitkan termasuk keperluan meningkatkan kelayakan diesel bagi pekebun kecil, akses yang lebih mudah kepada peruntukan jalan ladang, sumber air alternatif, cadangan memperkukuh perwakilan suara pekebun kecil di Parlimen serta pertindihan fungsi antara LGM dengan RISDA.
Tegas beliau, setiap pandangan yang dikemukakan diambil kira dan dihargai sepenuhnya.
Tambah beliau, beberapa perkara akan segera dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Kabinet pada Rabu (esok) serta dalam pertemuan dengan Menteri Besar serta Ketua Menteri pada bulan depan.
“Mungkin tidak semua dapat dilaksanakan segera kerana kekangan semasa, namun Kerajaan MADANI akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian mengikut kemampuan.
“Insya-Allah, sebarang keputusan akan diumumkan dalam Belanjawan 2027,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
