Peranan dan sumbangan besar kaum wanita terhadap pembangunan negara tidak dapat dinafikan, malah pencapaian luar biasa golongan tersebut mendapat pengiktirafan masyarakat global.
Terbaru, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menerima pengurniaan Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang bagi pembangunan sosial daripada Raja Permaisuri Thailand, Ratu Suthida Bajrasudhabimalalakshana.
Pencapaian penuh bermakna itu mendapat perhatian pemimpin negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan tahniah atas penganugerahan tersebut.
Perdana Menteri berkata, pengiktirafan besar itu bukan sekadar mengharumkan nama negara, malah menyerlahkan ketokohan, keupayaan dan sumbangan besar wanita Malaysia yang terus mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi ilham kepada lebih ramai wanita untuk terus menyumbang dengan ilmu, kepimpinan dan nilai ihsan dalam membina masyarakat serta menjayakan agenda Malaysia MADANI,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut Perdana Menteri, jentera MADANI akan terus berusaha memartabatkan peranan wanita dan memperluas peluang penyertaan golongan tersebut dalam pelbagai bidang utama negara.
Selain itu menurut beliau, kerajaan juga akan memastikan bakat, kepimpinan dan potensi wanita terus diperkasa sebagai antara tunjang utama pembangunan negara yang lebih cemerlang. -MalaysiaMADANI
