Rakyat Malaysia bakal menerima ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan MADANI bersetuju menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat bagi meringankan beban kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu berdasarkan maklum balas dan rintihan rakyat biarpun pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan sebelum ini.
“Walaupun kita beri Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA dan Datuk Seri Aminuddin (di Negeri Sembilan) bagi bonus tinggi kepada penjawat awam, adakah selesai masalah? Belum.
“Kerana itu, kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” katanya.
Terdahulu dalam program di Taman Sri Penaga, Sikamat, Negeri Sembilan, Perdana Menteri hadir memberi dukungan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi serta calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad.
Beliau berkata, di bawah kemudi Aminuddin dan dengan dukungan Kerajaan Persekutuan, Negeri Sembilan telah ditadbir dengan bersih, amanah dan cemerlang.
Kata beliau, prestasi itu diterjemahkan menerusi catatan pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, peningkatan hasil serta penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas untuk rakyat.
“Kerajaan Negeri pimpinan saudara Aminuddin turut berjaya merungkai pelbagai permasalahan legasi yang sekian lama membelenggu rakyat, termasuk perumahan mampu milik serta isu hak milik tanah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
