Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Bumi Kenyalang dan terus gagah membangun bersama Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, hasil kesepakatan dan kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, negeri itu kini berada pada landasan yang semakin kukuh untuk muncul sebagai peneraju pertumbuhan, inovasi dan pembangunan yang inklusif.
“Setiap ikhtiar digerakkan dengan tekad mengangkat martabat rakyat, memperkasa ekonomi serta menjamin kesejahteraan yang berkekalan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, usaha transformasi kemajuan yang sedang dilakar adalah hasil usaha bersama yang kukuh.
“Dengan semangat Sarawak Maju Segulai Sejalai, kita akan terus melangkah sederap memperkukuh perpaduan, merancakkan pembangunan dan membina masa depan yang lebih makmur demi Sarawak dan Malaysia,” ujar beliau.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Bumi Kenyalang terus melakar kejayaan, menyemarakkan kemakmuran dan menjadi kebanggaan negara, demi masa depan yang lebih gemilang buat seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia. -MalaysiaMADANI
