Kerajaan MADANI sentiasa memandang tinggi sumbangan ekonomi jingga dalam memberi pulangan terbaik kepada negara dan pemain industri secara khususnya untuk menjana pendapatan lebih baik.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) Bilangan 1 Tahun 2026.
Perdana Menteri berkata, MEJ ditubuhkan sebagai badan tertinggi untuk memacu ekosistem kreatif negara melalui tadbir urus yang strategik dan kolaboratif.
“MEJ juga bertindak sebagai badan penasihat ekonomi jingga kepada kerajaan dan meneraju dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas ekonomi jingga negara secara menyeluruh,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, fungsi utama MEJ adalah untuk merangka dasar dan strategi nasional berkaitan ekonomi jingga dengan mengenal pasti isu dan potensi sektor ini.
“Adalah menjadi hasrat saya agar badan tertinggi ini berupaya memacu anjakan yang inklusif, sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang mendepankan nilai kemanusiaan, daya cipta, serta kemampanan ekonomi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
