Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) telah membentangkan lapan cadangan penambahbaikan tatakelola strategik kepada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
SPRM berkata, langkah proaktif itu memfokuskan kepada pengurusan program lawatan kerja luar negara yang bertujuan memperkukuh aspek tadbir urus, ketelusan dan integriti.
Katanya, cadangan penambahbaikan tersebut dilakukan menerusi sistem kawalan dalaman yang dibincangkan secara imperatif semasa Sesi Khidmat Nasihat Terhadap Amalan, Sistem dan Tatakelola diadakan bersama NIOSH pada Khamis.
“Syor-syor kritikal yang dicadangkan oleh SPRM merangkumi penetapan had kuasa melulus dan pewujudan Surat Kuasa (LOA) yang jelas serta pematuhan mandatori kelulusan bertulis Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSU KESUMA) selaras Arahan KSU Bilangan 1/2024,” kata SPRM dalam satu kenyataan.
Menurutnya, syor penambahbaikan turut melibatkan penyeragaman format kertas kerja, pengauditan semula oleh Unit Audit Dalaman ke atas lawatan terdahulu serta semakan dasar pembiayaan aktiviti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).
Selain itu katanya, syor lain dicadangkan SPRM adalah pematuhan penyediaan Laporan Keberhasilan Lawatan dalam tempoh 14 hari, penambahbaikan pengurusan konflik kepentingan serta pemantapan klausa pematuhan dalam prosedur sedia ada.
Sementara itu, NIOSH amat mengalu-alukan cadangan khidmat nasihat daripada SPRM dan menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan langkah penambahbaikan serta memperkukuh sistem kawalan dalaman dan tadbir urus berintegriti.
Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh dan Timbalan Pengarah BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim. -MalaysiaMADANI
