Gempur kumpulan pengemis di sekitar ibu negara, satu operasi bersepadu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di beberapa lokasi utama yang dikenalpasti menjadi tumpuan golongan tersebut.
DBKL berkata, Operasi Bersepadu Banteras Pengemis telah dilaksanakan bersama beberapa agensi penguatkuasaan di sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Alor dan Leboh Pudu.
Katanya, operasi yang dijalankan bermula jam 8.00 malam itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Hasil daripada operasi dijalankan itu, seramai 25 individu telah diambil tindakan, terdiri daripada 13 warganegara dan 12 bukan warganegara,” kata DBKL menerusi laman media sosialnya.
Daripada jumlah tersebut, menurutnya, lima individu telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut, sementara dua individu diserahkan kepada JIM dan tiga individu lagi kepada JKM.
Tegasnya, DBKL akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dalam usaha membanteras aktiviti mengemis serta memastikan ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terpelihara.
Tambahnya, sebarang aduan atau maklum balas, orang ramai boleh menyalurkannya di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/ bagi tindakan lanjut. -MalaysiaMADANI
