Berita

Kerajaan perlukan kerjasama komuniti profesional tingkat keupayaan teknologi AI negara

Komuniti dan golongan profesional diseru untuk melaksanakan tanggungjawab membantu Malaysia menjadi negara yang mempunyai keupayaan tinggi dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kerjasama itu penting bagi memastikan negara tidak ketinggalan, seterusnya dapat memudahkan segala urusan dan memanfaatkan AI sebagai mekanisme penting dalam urusan pentadbiran.

Merealisasikan kerjasama dengan komuniti profesional negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada delegasi Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) yang diketuai Presidennya, Prof ChM Dr Juan Joon Ching.

Perdana Menteri bekata, pertemuan itu digunakan untuk bertukar pandangan mengenai usaha membangunkan bakat serta meningkatkan kesiapsiagaan golongan profesional dalam era AI. 

“Ikhtiar ini penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional serantau,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Kata beliau, kerajaan sangat menghargai peranan komuniti profesional sebagai rakan strategik dalam memperkukuh daya saing negara, memacu inovasi dan menjayakan agenda MADANI demi kesejahteraan rakyat.

“Saya turut menerima jemputan ke Hari Ikhtisas Malaysia yang mengiktiraf sumbangan golongan profesional kepada pembangunan negara,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti profesional akan terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai bakat yang berintegriti, berdaya saing dan memimpin Malaysia ke hadapan. -MalaysiaMADANI