Pelaksanaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2025 menerima pengiktirafan berdasarkan kejayaan mengurangkan beban peraturan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, satu majlis diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pelaksanaan RKB tersebut yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selain itu katanya, majlis tersebut turut menghargai sumbangan penjawat awam sebagai pemacu utama reformasi perkhidmatan awam serta mengiktiraf usaha komunikasi, liputan media dan penerokaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam menyokong agenda reformasi negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Terdapat tujuh kategori pengiktirafan iaitu Sijil Penghargaan Pasukan Paradoks Produktiviti AI, Anugerah Pertandingan Liputan Media RKB bagi kategori artikel, televisyen dan radio, serta Sijil Pengiktirafan Projek Berimpak Tinggi, Projek Berpotensi Tinggi dan Pencapaian Bilangan Projek RKB Siap Tertinggi.
“KKM telah menerima dua pengiktirafan. Bagi Kategori Projek Berpotensi Tinggi, pengiktirafan diberikan kepada Bahagian Kesihatan Digital menerusi projek meningkatkan kecekapan pengurusan rekod perubatan pesakit di klinik kesihatan awam; Bahagian Perkembangan Perubatan melalui inisiatif meningkatkan kecekapan pembiayaan kesihatan.
“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang berjaya mempercepatkan kelulusan pendaftaran ubat-ubatan kritikal daripada 245 hari kepada 120 hari dan mempercepatkan kelulusan lesen import serta lesen mengilang ubat kajian klinikal daripada 80 hari kepada 48 hari,” katanya menerusi laman media sosial.
Menurutnya, KKM turut menerima Sijil Penghargaan Khas atas kejayaan menyiapkan 16 projek RKB, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, pantas dan berkesan demi manfaat rakyat. -MalaysiaMADANI
