Berita

Pengagihan peruntukan diberi saksama, ikut keperluan pembangunan 

Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa agihan peruntukan yang diberikan kepada kerajaan negeri dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI kekal berpegang pada prinsip keadilan dalam mengagihkan peruntukan termasuk yang mendesak kepada semua negeri.

Beliau berkata, setiap peruntukan ditentukan berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat, bukan jumlah hasil yang dikutip, di mana semua negeri menerima peruntukan mengikut keutamaan dan keperluan masing-masing.

“Ini penjelasan saya di Dewan Rakyat hari ini berhubung agihan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan-kerajaan negeri,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Bagi keperluan mendesak, kata beliau, peruntukan diberikan untuk tujuan pembasmian kemiskinan, penaiktarafan infrastruktur, pembinaan sekolah serta penyediaan kemudahan asas khususnya kepada golongan miskin dan masyarakat yang terpinggir. 

Menurut beliau, antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi berbanding sebelum ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

Jelas beliau, beberapa peruntukan tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang memerlukan perhatian khusus dan projek-projek seperti tebatan banjir yang tidak boleh dilengahkan.

Tambah beliau lagi, peruntukan mendesak turut diberikan kepada kerja-kerja menaik taraf lebuh raya atau Jalan Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta beberapa projek penting seperti saliran baharu dan persimpangan. -MalaysiaMADANI